Friday, November 19, 2010

Kau Pergi 2 by:Amai


Aku duduk di satu ruang yang kecil. Tenang. Tiada gangguan. Sungguh indah jika keadaan di bumi sentiasa tenang seperti yang aku rasakan sekarang. Alangkah bagusnya jika tiada gangguan langsung. Tetapi, ketenangan ini bukan untuk aku. Aku menempuh pelbagai dugaan dalam hidup ini. Aku menangis. Mengenang peristiwa tersebut bukanlah perkara yang baik sekarang ini. Semuanya sudah terjadi.
Rakan yang aku sayangi sudah pergi selama-lamanya. Ini kerana jantan yang tidak berguna itu! Linda, perlukah aku menipu Hadi? Perlukah aku berpura-pura sukakannya kerana hanya ingin membalas dendam? Adakah cinta Hadi kepada aku sungguh mendalam? Perlukah aku membalas dendam kepadanya?
Sesudah aku melihat dia seratus peratus berubah, daripada seorang yang jahat kepada baik, aku mula sukakannya. Adakah perasaan ini benar? Ya, aku menyintai Hadi. Tetapi, bagaimana dengan dendam yang telah aku rancang selama ini? Tidak mungkin terkubur begitu sahaja. Ya, aku mesti meninggalkan segala rancangan tersebut. Tidak ada kebaikannya berdendam sesama manusia. Aku mesti meninggalkannya! Mesti!
1. Selamat Tinggal, Linda
AKU bersama ibu menuju ke Tanah Perkuburan Taman Indah untuk menghadiri upacara pengebumian Linda. Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke sana. Ibu melakukan perkara yang sama, hanya mendiamkan diri. Sekali-sekala air mata aku menitis, mengingatkan peristiwa itu. Tidak! Aku mesti melupakannya.
Tanah perkuburan tersebut telah dipenuhi dengan orang ramai. Kebanyakkannya adalah keluarga terdekat Linda. Sesudah keluar kereta, aku membetulkan selendang hitamku kerana ditiup angin. Ibu mengajak aku untuk menjumpai ibu Linda, Puan Farah. Puan Farah duduk bersimpuh di atas sebuah tikar manakala suaminya, Encik Ghani duduk di sebelahnya.
Aku bersama ibu berdiri berdekatan mereka. Imam memulakan talkin. Sesekali Puan Farah mengesat air matanya. Ibu mana yang tidak sedih jika anak mereka pergi dahulu sebelum mereka. Encik Ghani pula memeluk Puan Farah untuk menenangkannya. Aku menitiskan air mata sekali lagi selepas melihat kesedihan Puan Farah.
Selesai sahaja imam membaca talkin, Puan Farah menyiram air bunga di atas pusara Linda. Encik Ghani pula hanya melihat dengan penuh kesayuan. Orang ramai mula bersurai selepas talkin habis dibacakan. Puan Farah duduk semula di atas tikar tersebut dan Encik Ghani berbisik sesuatu kepada Puan Farah. Puan Farah mengangguk. Encik Ghani berdiri lalu berjalan ke arah kereta Proton Exora.
Aku segera duduk bersebelahan Puan Farah. Puan Farah seperti tadi, menangis dan meratapi pemergian anaknya. “Maafkan mak, Linda. Maafkan mak.” Nadanya seperti beliau yang bersalah. Aku memeluk belakang beliau, cuba untuk menenangkannya.
“Semua ni gara-gara aunty. Kalau aunty tak halau dia semalam, semua ni takkan terjadi, tidak akan!” Puan Farah makin galak menangis.
“Aunty, sabar aunty. Ini semua takdir. Aunty tak boleh salahkan diri sendiri. Adilakan ada. Aunty anggap sahaja Adila ni anak aunty, okey?” soal aku hanya untuk menenangkannya. Puan Farah menangis seperti tadi. Tiada respon apabila aku menyoalkan soalan tersebut.
Tidak. Ini bukan salah Puan Farah! Ini salah Hadi, setan yang tidak berguna itu! Aku mesti membalas dendam. Mesti! Linda, aku akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam.
“Assalamualaikum,” suara seorang lelaki yang cukup aku kenali memberi salam. Walaupun baru menjumpainya semalam, tetapi suara tersebut memang aku kenal. Hadi! Ya, memang dia.
“Waalaikumussalam,” jawab Puan Farah. Puan Farah menjeling sedikit untuk melihat lelaki tersebut. “Siapa ya ni?” soal Puan Farah lagi.
“Saya Hadi, kawan kepada Linda,” jawabnya dengan senyuman. Dasar jantan. Jika ikutkan hati, ingin sahaja aku menceritakan perkara yang sebenar kepada Puan Farah. Tetapi dalam keadaan yang begini, tidak mungkin aku menceritakannya. Puan Farah masih bersedih atas pemergian anaknya.
“Oh, Hadi. Adila kenal dengan Hadi ke?’ soal Puan Farah sambil melihat aku. Aku mengangguk dan melemparkan senyuman kepada Puan Farah. Puan Farah mengangguk tanda faham. Hadi merenung aku, lama. Aku mula berasa tidak selesa. Aku membalas renungannya lalu Hadi merenung ke arah Puan Farah, sayu.
“Adila, nanti saya nak jumpa dengan awak sekejap,” ajak Hadi. Aku mengangguk. Aku tidak tahu apa yang Hadi mahukan, tetapi biarkan, aku ikut sahaja kemahuan dia. Tambahan pula di hadapan Puan Farah. Aku tidak mahu Puan Farah mengesyaki apa-apa.
Hadi berjalan ke arah sebuah pokok yang rendang. Aku berdiri dan meminta kebenaran daripada ibu dan Puan Farah untuk menjumpai Hadi. Mereka membenarkan. Puan Farah telah bangun untuk menaiki kereta. Sesekali aku berasa sungguh sedih melihat nasib Puan Farah.
Aku meneruskan perjalanan ke arah Hadi. Kereta Encik Ghani dan Puan Farah sudah berlalu pergi. Bahang matahari yang terik menambahkan kepanasan hati aku apabila melihat Hadi. Dasar setan! Hati aku sudah tidak boleh dikawal lagi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati aku melihat wajah Hadi.
Sedang aku ke arahnya, dia mula bersuara, “Awak, maafkan saya. Saya tahu semua ni salah saya. Saya sanggup lakukan apa saja demi menebus kesalahan saya ni.” Mukanya kemerah-merahan.
“Huh! Tak perlu minta maaf dengan aku. Kau sepatutnya minta maaf dengan Linda dan ibu dia! Kau tahu tak, Linda dihalau oleh Puan Farah disebabkan dia mengandung! Hish, aku memang…” aku segera beristighfar banyak-banyak.
“Awak, lepaskan apa sahaja yang awak nak cakap pada saya. Saya terima,” pintanya. Aku malas hendak melayan Hadi lagi. Aku meneruskan langkah ke arah kereta ibu. “Kenapa ni Adila?” soal ibu dengan riak wajahnya yang begitu keliru.
“Tiada apa,” jawab aku. Aku tidak mahu ibu untuk mengetahui cerita sebenar. Aku segera masuk ke dalam kereta. Ibu meneruskan perjalanan ke rumah. Aku mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Sungguh benci sekali aku melihat Hadi. Jantan yang telah merosakkan Linda dan menyebabkan Linda meninggal dunia.
“Kenapa ibu tengok Adila muka bengis je? Tadi kenapa Adila tengking-tengking si budak Hadi tu? Adila jangan fikir ibu tak nampak?” soal ibu dengan nada tenang.
“Tiada apa-apa ibu. Tadi cuma ada masalah sedikit. Lagi pun buat masa sekarang, Adila perlu tenangkan diri dulu,” jawab aku hanya untuk menenangkan ibu. Ibu melepaskan keluhan. Aku melihat ibu dan segera senyum ke arahnya. Kali ini ibu menggelengkan kepala seperti pelik dengan perangai aku.
Aku melihat ke arah jalan raya semula. Aku mengingat kembali peristiwa malam tadi. Aku tidak sangka bahawa Linda pergi dahulu sebelum aku. Malah arwah Linda pergi sewaktu usia muda lagi. Ya Allah, kau ampunilah dosa rakanku. Ibu sekali-sekala menyanyi mengikut lagu yang diputarkan di radio. Aku berdiam diri lalu menitiskan air mata. Aku menyeka air mataku supaya ibu tidak melihat aku sedang menangis.
TIGA TAHUN berlalu dan aku sudah sudah berada di universiti. Sepanjang tiga tahun ini, aku belum melakukan apa-apa lagi terhadap Hadi. Hari pertama di universiti merupakan hari yang paling gemuruh bagi aku. Mana tidaknya, aku keseorangan. Tiada seorang pun yang aku kenal. Aku duduk di satu bangku panjang. Aku berasa dingin apabila angin meniup. Aku melihat kehijauan taman yang dipenuhi pokok-pokok rendang.
“Assalamualaikum,” salam daripada seorang gadis. Aku melihatnya. Adakah aku bermimpi? Tidak. Tidak mungkin! Aku mencubit lengan tanganku tapi tiada apa-apa yang berubah. Betul! Aku tidak bermimpi.
Seorang yang paling aku rindu berada di hadapan aku. Aku merenungnya. Gadis itu seperti berasa tidak selesa selepas aku merenungnya agak lama. “Maaf kalau saya renung awak begitu lama,” aku menghulurkan tanganku untuk berjabat tangan. “Saya Adila, awak?” soalku.
“Boleh saya duduk sebelah awak?” soal gadis tersebut. Aku hanya mengangguk. Gadis tersebut terus duduk di sebelah aku. Rambutnya yang panjang dan wajahnya yang cantik saling tak tumpah seperti Linda. “Nama saya, Sheila. Saya dari Jengka, Pahang.”
“Oh, saya Adila dari Johor Bahru.”
Aku merenung Sheila, lama. Sheila berasa tidak selesa. “Awak, kenapa awak renung saya macam tu sekali? Awak ni…” muka Sheila berubah seperti orang rasa bersalah untuk menanya sesuatu.
“ Awak nak cakap saya ni lesbian? Eh, tak adalah,” aku tersenyum dan hampir sahaja hendak melepaskan gelak.
“Awak, sorrylah kalau saya singgungkan hati awak,” Sheila meminta maaf dengan menundukkan mukanya. Malu agaknya.
“Dahlah Sheila. Sebenarnya saya teringatkan adik saya apabila saya melihat awak. Saya rindu akan adik saya tu,” aku berbohong. Aku tiada niat untuk membohong terhadap Sheila, tetapi aku ingin melupakan perkara tersebut! Aku tidak sesekali akan memikirkan perkara tersebut.
Sheila hanya mengangguk tanda faham. “Siapa nama adik awak tu?” soal Sheila pula. Aku menolehnya.
“Nama dia, Linda,” jawab aku sambil melemparkan senyuman. Sheila membalas senyumanku. Senyumannya sama seperti senyuman Linda.
“Oh, saya tak pernah ada adik. Saya anak tunggal. So, saya tak pernah rasa macam mana rasanya ada adik, abang ataupun kakak,” terang Sheila. Sheila merenung jauh ke hadapan. Aku melihatnya. Muka Sheila tiba-tiba berubah. Dia seperti bersedih.
“Kenapa ni Sheila?” soal aku untuk mendapatkan kepastian.
Sheila hanya menggeleng. Dia tersenyum. Tapi senyumannya seperti senyuman yang dibuat-buat. Aku membalas senyumannya pula.
“Okaylah, saya nak balik hostel. Bye!” Sheila terus bangun lalu meninggalkan aku. Aku tersenyum.
Aku berasa seperti berada dalam mimpi. Wajah Sheila benar-benar seperti wajah Linda. Aku akan menjaga Sheila dengan baik dan aku tidak akan membiarkan Sheila dipermainkan oleh lelaki sepertimana yang telah dilalui oleh Linda.

2. Sheila..
HARI ini merupakan hari kedua aku di kuliah. Agak memenatkan tetapi memperoleh ilmu juga. Selepas kuliah, aku terus ke kafe. Keadaan di kafe agak lengang hari ini. Aku hanya minum segelas kopi panas dan snek. Tiba-tiba mata aku tertumpu kepada seorang lelaki yang cukup aku kenali, Hadi!
Pakaiannya agak kemas dan dia amat berbeza sekali. Tidak seperti tiga tahun lepas di mana dia memakai gelang dan rantai seperti yang dipakai lelaki masa kini. Rambutnya juga perang pada waktu dahulu. Tetapi apa yang aku lihat sekarang sungguh berbeza sekali. Tiada lagi gelang dan rantai. Rambutnya hitam.
“Assalamualaikum, awak. Merenung apa tu?” sapa seorang gadis. Siapa lagi kalau bukan Sheila.
“Waalaikumussalam. Huh? Tak ada renung apa-apalah.”
“Awak renung lelaki tu ke? Hish, awak tahu tak? Sewaktu ke kafe tadi, dia asyik merenung saya saja. Dia ikut saya sampai ke kafe ni. Sampai naik rimas saya dibuatnya,” Sheila mengomel sambil mencebikkan bibirnya yang mungil itu.
“Oh, ya ke? Dia suka awak tak?” gurau aku sambil melepaskan gelak. Muka Sheila merah padam.
“Awak, malulah saya,” ujar Sheila. Suaranya tenggelam kerana dia menundukkan mukanya.
Hadi telah bertemu dengan Sheila. Mesti dia pun rasa apa yang aku rasa. Rindu terhadap Linda. Ah! Kenapa mesti aku fikirkan tentang Hadi?
“Assalamualaikum,” sapa Hadi. Aku dan Sheila mengangkat kepala untuk melihat Hadi.
“Waalaikumussalam,” jawab Sheila dengan nadanya yang halus itu. Aku mengangguk sambil melemparkan senyuman kepada Hadi. Tetapi senyuman ini bukanlah senyuman untuk aku berdamai dengannya dan melupakan segala apa yang pernah dilakukan Hadi kepada Linda. Hadi membalas senyuman aku.
“Boleh saya duduk di sini?”
Aku hanya mengangguk. Sheila pun melakukan perkara yang sama, hanya mengangguk. Hadi menarik kerusi dan terus melabuhkan punggung. Dia melihat Sheila lama. Kemudian, kepalanya menggeleng.
“Oh, sebelum saya lupa, nama saya Hadi,” Hadi menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Dia berjabat tangan dengan Sheila, kemudian aku. Dia melemparkan senyumannya kepada Sheila. Adakah Hadi merindui Linda? Ya, barangkali dia merindui Linda. Walaupun aku melihat Hadi sudah berubah, tetapi perasaan benci ini terhadapnya tidak pernah hilang dalam diri aku.
“Saya Adila. Dan ini rakan saya, Sheila. Kenapa awak tengok Sheila lain macam ya? Teri ngatkan seseorang ke?” soal aku, sinis. Muka Hadi merah padam. Dia menunudukkan mukanya. Tidak sampai beberapa saat, Hadi mengangkat kepalanya lalu mengangguk.
“Siapa yang awak teringatkan tu?”
“Oh, kakak saya.”
Aku melihat muka Sheila berasa pelik. “Adila, semalam awak cakap muka saya macam adik awak. Kali ni, awak pula Hadi, cakap muka saya macam kakak awak. Rupa-rupanya saya ni ramai kembar, ya?” Sheila tersenyum lalu melepaskan gelaknya. Kami sama-sama gelak.
“Haa, tu sebabnya awak tiada adik beradik. Kembar awak merata-rata,” jawab aku pula. Kami bersama-sama gelak. Kali ini makin meriah gelak kami.
Sheila gelak dan tiba-tiba, mukanya berubah. “Kenapa ni Sheila?” soal aku untuk dapatkan kepastian. Sheila hanya menggeleng. Hadi merenung Sheila begitu lama. “Kenapa Linda?” soal Hadi pula.
LINDA?! Kenapa nama Linda disebut oleh Hadi? Sheila melihat Hadi. “Hadi, siapa Linda?” soal Sheila pula. Wajah Hadi berubah seperti orang ketakutan.
“Adila, semalam awak cakap adik awak namanya Lindakan?” soal Sheila sambil mengalih pandangannya kepada aku. Aku mengangguk.
“Jadi, siapa Linda, Hadi?” kali ini Sheila mengalihkan pandangannya kepada Hadi pula. Hadi menundukkan kepalanya.
Aku mula menerangkan kepada Sheila. “Sheila, sebenarnya Linda rakan saya, dia meninggal tiga tahun lepas kerana kemalangan. Dan Hadi pula, rakan Linda. Kami menyaksikan sendiri kemalangan Linda. Yang lebih memeranjatkan kami, wajah awak saling tak tumpah seperti wajah Linda.”
“Tak Adila, ini semua salah saya. Kalau saya tak buat begitu pada Linda, Linda tak akan kemalangan,” ujar Hadi sambil memandang aku. Aku mengalihkan pandangan aku kepada Hadi pula. Betapa menyesalnya Hadi ketika itu. Tetapi, aku makin benci melihat Hadi.
“Shut up, Hadi! Kau tahu tak, betapa menyesalnya Puan Farah apabila dia dapat tahu anaknya kemalangan? Puan Farah asyik menyalahkan diri dia sendiri. Sekarang dia nak mencari siapa lelaki yang dah merosakkan Linda. Aku tak pernah beritahu Puan Farah siapa lelaki tersebut.”
“Siapa lelaki tu, Adila? Awak kenal ke?” soal Sheila pula kali ini. Aku mengalihkan pandangan kepada Sheila.
“Saya tak tahu,” jawab aku.
“Adila…” Hadi ingin berkata sesuatu, tetapi cepat-cepat dipotong oleh Sheila. “Awak kenal ke lelaki tu, Hadi?” tanya Sheila pula.
“Lelaki tu….”
“Lelaki tu siapa Hadi?!” soal Sheila untuk mengetahui perkara sebenar.
“Lelaki tu dia sendiri, Sheila,” jawab aku pula. Aku merenung tajam kepada Hadi. Kemudian, aku mengalihkan pandangan aku kepada Sheila.
“Awak Hadi?!” tanya Sheila sambil menggeleng lalu menundukkan mukanya. Keadaan waktu itu senyap seketika. Sheila masih seperti tadi, menundukkan kepalanya. Apabila dia mengangkat kepalanya, matanya sudah merah dihujani air mata. “Lelaki semua sama sahaja. Awak berdua tahu tak, saya dulu pernah ada kakak,” terang Sheila.
“Tapi awak kata awak anak tunggal?” soal aku.
“Saya bohong sahaja semua tu!” jerit Sheila sambil menyeka air matanya.

0 comments: