Friday, November 19, 2010

Kau Pergi ,Short Story By: Amai


Segelas teh dan roti cukup untuk mengenyangkan perut Adila. Mana tidaknya, dia tidak langsung menjamah makanan sejak dari malam tadi. Perisitiwa malam tadi tidak dapat diluputkan di dalam kepalanya. Peristiwa yang akan kekal selama-lamanya dalam kepala. Lalu air matanya mengalir tanpa disedari.

……..

                Linda merupakan pelajar baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Indah. Sekolah yang dikhaskan untuk pelajar perempuan yang bijak. Kini beliau berada di Tingkatan Empat. Keputusannya yang begitu baik di dalam Penilaian Menengah Rendah serta merta melayakkannya ke sekolah tersebut.
                Sewaktu progam orientasi dijalankan, hanya Adilalah, rakan baiknya yang menjadi teman bualnya.
                “Adila, nanti temankan aku pergi ke tandas sekejap,” soal Linda.
                “No problem! Lin, macam mana kalau kita menonton wayang hari Sabtu ni, nak?” soal Adila sambil menuju ke arah tandas yang berdekatan.
                “Sabtu ni? Urmm, aku fikir-fikirkan nantilah,” jawab Linda lalu segera masuk ke tandas.
                “Okey,” balas Adila.

5 bulan kemudian
                “Baik, saya nak awak baca bab-bab yang kita dah belajar. Peperiksaan dah nak dekat ni,” suara Puan Maslina memecah kesunyian kelas Tingkatan 4 Cendana. Pelajar-pelajar 4 Cendana hanya menganggukkan kepala.
                “Linda, kau okey ke? Aku tengok kau dari tadi muram je. Kau ada masalah ke? Cuba cerita dengan aku,” tanya Adila.
                Linda hanya mendiamkan diri. Tiada respon. Adila mendiamkan diri juga dan membiarkan sahaja Linda melayan fikirannya.
                Sewaktu loceng berbunyi, Linda hanya mendiamkan diri. Dia mengemaskan barang-barangnya lalu terus keluar daripada kelas. Tidak seperti biasa, dia akan menunggu Adila mengemaskan barang dan akan keluar ke kelas bersama-sama.
                “Kenapa dengan Linda ni?” Adila bermonolog. “Ah! Biarkan saja. Mesti ada problem tu. Nanti lama-lama, baiklah tu,” sambungnya lagi.
               
                Selesai makan malam, Adila seperti biasa akan mengulangkaji pelajaran. Beberapa minit kemudian, kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Terpampang nama Linda di skrin telefon bimbitnya, segera diangkat oleh Adila.
                “Hello, Linda! Kenapa dekat sekolah tadi, kau muram je?” soal Adila.
                “Adila, kau mesti tolong aku,”
                “Eh, kenapa dengan kau ni? Kau menangis ke?”
                “Adila, tolong aku. Aku nak jumpa kau dekat taman sekarang juga,”
                “Okey, aku datang ni,”
                Adila segera mencapai baju sejuknya lalu memakainya. Dengan membawa telefon bimbitnya, dia menuju ke arah pintu.
                “Nak ke mana tu?” soal ibunya.
                “Eer, nak jumpa Linda. Boleh ya?”
                “Pergilah. Tapi jangan lama-lama. Sejuk luar sana tu. Nanti demam, susah pulak,”
                “Baiklah, mak,”
                Walaupun umur Adila sudah mencecah 16 tahun, ibunya tetap mengambil berat tentang anaknya itu. Bukan Adila seorang sahaja, malah adik-beradik Adila pun ibunya mengambil berat. Kasih sayang seorang ibu tidak pernah berbelah bahagi.
               
                Linda duduk di satu sudut yang gelap. Dia tidak mahu dilihat oleh sesiapa. Kedengaran tangisan teresak-esak. Adila mencari-cari Linda.    
                “Adila!” jerit Linda.
                “Linda, kenapa ni? Kenapa menangis ni? Kau ada masalah apa-apa ke?”
                “Adila, aku takut,”
                “Kau takut apanya? Tak apa. Aku ada. Cerita dengan aku, apa yang berlaku,”
                “Kau ingat tak masa kita pergi tengok wayang 5 bulan lepas,” Linda tetap dengan tangisannya yang hampir membuat Adila menangis.
                “Haa, aku ingat! Kenapa?”
                “Aku ada jumpa dengan seorang lelaki ni. Dia cakap dia nak berkenalan dengan aku,”
                “Okey. Dia ada buat apa-apa dengan kau ke? Cuba kau cakap dengan aku,”
                Linda makin galak menangis. “Aku dah terlanjur dengan dia,”
                Adila hampir-hampir terperanjat dengan pengakuan Linda itu. “Astaghfirullah. Linda, apa kena dengan kau ni? Kau tahukan benda ni bukan boleh buat main-main. Kau tahukan, perkara ni dilaknat oleh Allah,” nada Adila seperti memarahi Linda membuatkan Linda makin kuat menangis.
                “Maafkan aku, Linda. Aku tahu kau tengah stress sekarang,” ujar Adila.
                “Aku takut, Dila. Aku takut aku pregnant,”
                “Haish! Jangan risau. Kau kena fikir positif,”
                “Tapi…”
                Belum sempat Linda hendak meneruskan kata-katanya, Adila mencelah, “Dah, fikir positif. Esok lepas sekolah, kita pergi klinik. Buat pemeriksaan,”
                Linda menganggukan sahaja. Dia tidak tahu mahu buat apa lagi. Buntu. Hanya Adila sahaja yang mampu menolongnya. Dia tidak berani memberitahu ibunya. Entah apa yang dilakukan oleh ibu bapanya nanti. Mungkin dihalau. Semakin Linda memikirkan tentang perkara itu, makin galak dia menangis. Adila segera memeluk erat Linda. Hanya kedengaran suara tangisan Adila di kegelapan malam yang indah itu.

                Selepas waktu persekolahan, Adila dan Linda menukar pakaian mereka. Tujuan mereka hanyalah untuk ke klinik membuat pemeriksaan. Linda berdebar-debar sewaktu menunggu namanya dipanggil oleh doktor.
                “Linda!” panggil seorang pembantu doktor yang agak cantik paras rupanya.
                “Linda, jom. Kau relax, okey? Everything fine,” nasihat Adila.
                Linda hanya mampu mengangguk. Dia ketakutan. Bagaimana kalau dia mengandung? Apa ibu bapanya akan menerimanya lagi? Adakah dia tidak akan diterima lagi dalam keluarganya? Ah, Linda membuang jauh-jauh persoalan tersebut. Yang hanya dia lakukan hanyalah berdoa.

                “Baik. Umur awak berapa,” soal doktor wanita tersebut dengan lemah lembut. Terdapat tanda nama tersemat di tudung merah jambunya. Siti Rasyidah. Sedap namanya.
                “Umur saya 16 tahun,” jawab Linda. Adila hanya melihat Linda penuh kesayuan.
                “Awak ada rasa pening-pening ataupun tak sihat badan?” soal Doktor Rasyidah lagi.
                “Malam semalam, saya ada muntah-muntah. Saya tak syak apa-apa. Saya ingatkan saya sakit perut,”
                “Linda, kenapa kau tak cakap dengan aku kau muntah-muntah?” soal Adila dengan nada tidak puas hati.
                Doktor Rasyidah hanya memerhatikan sahaja Adila dan Linda. “Macam inilah, awak disahkan mengandung 3 bulan,” ujar Doktor Rasyidah sambil menanggalkan cermin matanya.
                Linda tidak berkata apa-apa. Air matanya tidak dapat ditahan. Sebagai manusia, air mata itu tidak pernah kering. Pelbagai persoalan mula timbul. Adila memeluk belakang badan Linda. Tetapi pelukan itu tidak boleh menghentikan air matanya.
                “Awak masih bersekolah menengah lagi. Sepatutnya, awak jangan sesekali percaya dengan lelaki. Bukan maksud saya untuk tidak mempercayai semua lelaki, tetapi awak harus berhati-hati terhadap mereka. Tidak apa, nanti saya akan memberitahu ibu bapa kamu,” jelas Doktor Rasyidah sambil merenung Linda yang tidak henti-henti menangis.
                “Doktor, tolong jangan beritahu mereka. Saya takut. Tolonglah doktor,” pinta Linda. Adila menenangkan Linda.
                “Maaf, Linda. Saya tak boleh lakukan begitu. Saya mesti memaklumkan kepada ibu bapa kamu. Tidak apa, saya akan berbincang dengan mereka. Linda, berikan saya nombor telefon ibu ataupun ayah awak,”
                “Tak nak, saya tak akan bagi!”
                “Linda, dengar cakap doktor. Nanti doktor tahu apa yang akan dibuatnya,” paksa Adila pula.
                “Tak nak!” jeritnya. Linda meracau. Dia menangis sekuat-kuat hatinya. Adila memeluk dengan erat supaya Linda tidak mengapa-apakan dirinya.
                “Saya tak tahu nak buat apa lagi, doktor. Saya rasa bersalah. Dia berikan saya apa-apa sahaja. Dia membelikan saya baju, beg, dan macam-macam lagi. Dia memberitahu saya, dia hanya hendakkan saya,” jelas Linda. “Dia membawa saya ke rumahnya. Dia kata dia ingin mengenalkan saya kepada ibu bapanya. Tapi apa yang saya dapat…” Linda makin galak menangis.
                “Itulah lelaki zaman sekarang. Penuh kata-kata manis. Lagi pun, perkara ini sering terjadi kepada gadis-gadis seperti awak. Tidak apa. Berikan nombor telefon ibu awak,”
                Dengan keadaannya yang bercelaru, Linda menuliskan nombor telefon ibunya di atas sekeping kertas.
                “Terima kasih, Linda. Nanti saya akan bertemu dengan ibu awak. Awak boleh balik sekarang,”
                “Linda, kau tenangkan fikiran, okey?” nasihat Adila. “Terima kasih, doktor,” sambungnya lagi.
                “Baiklah,” Doktor Rasyidah tersenyum. Apalah nak jadi dengan budak zaman sekarang. Hanya memikirkan nafsu sahaja. Tetapi Linda bukan seperti itu. Dia anak yang baik. Cuma salah pilih kawan. Siapalah yang merosakkan Linda. Pembantu doktor menuju ke arah Doktor Rasyidah. Beliau terhenti berlamun.
                “Doktor, kenapa dengan budak tadi,”
                “Tak ada apa-apalah. Okey, awak panggil pesakit yang lain, ya?” soal Doktor Rasyidah.
                “Baiklah,” balas pembantu tersebut.

                Doktor Rasyidah membetulkan tudungnya yang ditiup angin itu. Hari ini beliau akan bertemu dengan Puan Farah, ibu kepada Linda. Sambil menunggu kedatangannya, beliau menyedut air yang dipesannya sebentar tadi. Doktor Rasyidah memikirkan isu-isu semasa. Kes pembuangan bayi, kes rogol. Huh! Keluh hatinya. Apa nak jadi dengan remaja zaman sekarang.
                Dahulu, remaja sungguh baik sekali. Jarang sekali mendengar cerita pembuangan bayi dan pergaulan bebas. Sekarang sudah moden. Semuanya mesti cepat. Sehinggakan budaya dan adat resam hampir dilupakan.
                “Asslamualaikum,”
                “Waalaikumussalam,” Doktor Rasyidah memandang wanita yang memberi salam kepadanya.
                “Doktor Rasyidah ke?” soal wanita tersebut.
                “Ya. Ini Puan Farah ke? Ibu Linda?”
                “Ya, sayalah tu,”
                “Silakan duduk,”
                Puan Farah segera duduk. Seorang pelayan datang dan menanyakan pesanan. Selepas sahaja memesan, mereka sambung berbual.
                “Puan Farah, saya nak bincangkan sesuatu tentang anak puan, Linda,” ujar Doktor Rasyidah.
                “Kenapa dengan anak saya? Dia ada sakit apa-apa ke?” tanya Puan Farah. Cemas.
                “Begini. Dua hari lepas, anak puan datang ke klinik saya untuk membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan, anak puan disahkan mengandung tiga bulan,” terang Doktor Rasyidah dengan tenang.
                What?! Doktor salah orang kot. Setahu saya, anak saya berumur 16 tahun. Takkan dia mengandung?”
                “Ya, dialah anak puan. Tapi buat masa sekarang, puan jangan menambah tekanan padanya. Dia masih tidak dapat terima keadaannya buat masa sekarang,” ujar Doktor Rasyidah.
                “Dia anak saya! Saya kenal anak saya! Dia takkan buat perkara terkutuk tu. Doktor jangan pandai-pandai menuduh anak saya. Dia anak yang baik!” amuk Puan Farah.
                “Puan, bawa bertenang. Saya tahu keadaan puan sekarang,”
                “Apa yang doktor tahu?! Doktor tak tahu apa-apa. Sudah!” tengking Puan Farah lalu meninggalkan Doktor Rasyidah keseorangan.
                Doktor Rasyidah hanya memandang sahaja pemergian Puan Farah. Beliau sudah agak, mesti perkara ini akan terjadi.

                Linda mencapai telefon bimbitnya. Dia ingin menelefon Adila.
                “Hello,” ucap Linda.
                “Hello, Lin. Kau ada problem ke?”
                “Tak ada. Malam ni aku nak jumpa kau boleh? Dekat taman,”
                “Boleh je,”
                “Okey, pukul 9 malam nanti aku tunggu kau,”
                “Okey!”
                Bye!”
                Bye!”
                Selesai sahaja menelefon rakannya itu, kedengaran pintu rumah dihempas dengan kuat. Linda terperanjat.
                “Linda, mari sini kau!” teriak Puan Farah.
                Linda menuju ke arah ibunya.
                “Apa kau buat ni? Kau ni betul-betul nak malukan aku!” Puan Farah tidak dapat menahan marahnya lagi. “Aku tak sanggup tengok muka kau lagi,”
                Linda dipukul-pukul oleh Puan Farah. “Mak, maafkan Linda. Linda minta maaf, mak!” desaknya lagi. Linda mengucup-ngucup kaki ibunya. Tetapi yang didapatinya hanyalah tendangan daripada seorang ibu. Linda tertolak ke belakang lalu badannya terpukul meja. Dia mengurut-urut belakang badannya.
                “Kau pergi! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Pergi!” teriak Puan Farah lagi.
                “Mak, maafkan Linda mak. Maafkan Linda,” dia segera ke arah kaki ibunya. Linda menangis dengan sepenuh hati. Walaupun begitu, Puan Farah langsung tidak bersimpati dengan Linda. Malah, dia menendang lagi anaknya. Beliau segera ke biliknya. “Kau pergi. Aku dah tak nak tengok muka kau lagi!” teriaknya lagi.
                Puan Farah menangis. “Ya Allah, apa aku dah buat ni?”
                Linda menangis teresak-esak. Dia tahu perkara ini mesti terjadi. Dia segera keluar dari rumah itu. Biarkan. Dia tidak mahu memalukan nama keluarga. Dia sanggup dicerca, dihina, janji bukan keluarganya dibuat sedemikian.
                Ke mana harus dia pergi? Hadi. Dia mesti menelefon Hadi. Lelaki dan ayah kepada bayi yang dikandungnya sekarang. Ah! Hadi mesti bertanggungjawab.
                Dia menulis mesej kepada Hadi. Dia ingin bertemu dengan Hadi malam ini. Biar Adila mengenali ayah kepada bayi yang dikandungnya.
                Linda hanya menunggu di taman sehingga waktu malam. Biar pun kesejukan, dia buntu. Biarkanlah perkara ini diselesaikan olehnya sendiri.

                “Linda, lama kau tunggu?” soal Adila.
                “Tak adalah. Aku baru je sampai,” helahnya. Dia tidak mahu memberitahu perkara yang berlaku petang tadi. Biarkan sahaja perkara itu menjadi rahsia.
                “Hmm, kau dah makan?”
                “Dah,” helahnya lagi.
                “Hai, Linda,” seorang lelaki datang mendekati mereka berdua.
                “Hadi,” nama itu terkeluar daripada mulut Linda.
                “Kenapa you nak jumpa dengan I ni?” soal Hadi.
                “Linda, siapa ni?” soal Adila pula.
                Linda mendekati Hadi. Hadi tersenyum. Lalu, satu tamparan daripada Linda hinggap di pipi Hadi.
                “Linda, kenapa ni?” soal Hadi.
                Adila tergamam dengan kejadian tersebut. Siapa lelaki ini? Kenapa dia ditampar oleh Linda? Apa salah lelaki yang bernama Hadi ini?
                “Linda, kenapa ni? Apa salah dia?”
                “Kalau kau nak tahu, dialah yang rosakkan aku. Dialah ayah kepada bayi yang aku kandungkan ni!”
                Adila dan Hadi tidak berkata apa-apa.
                What?! You mengandung?” soal Hadi.
                “Sudah, jangan nak tunjuk baik dekat aku. Kau ingat aku tak tahu yang kau ni dah rosakkan banyak anak dara orang?” amuk Linda.
                “Apa ni? tak fahamlah,”
                “Sudahlah! I tak nak tengok lakonan you lagi,”
                Hadi dengan tiba-tiba mengamuk. “Woi, kau tak berhak cakap dengan aku macam tu. Entah-entah, itu anak orang. Bukan anak aku!” tengking Hadi.
                Linda menangis teresak-esak. Adila yang melihat kejadian tersebut menengking Hadi pula.
                “Woi, kau pun tak berhak buat kawan aku macam ni. Bayi yang dikandung oleh Linda tu, anak kau sendiri!” amuk Adila pula.
                “Kau tak tahu apa-apa, jangan nak lebih-lebih. Aku tahu itu bukan anak aku,”
                Adila hanya senyum sinis. “Oh, kau ingat aku tak tahu perangai kau? Aku tahu kau ni memang buaya darat. Tapi kau tak berhak buat macam tu dekat kawan aku!”
                “Oh, ya? Memang. Memang aku buaya darat. Puas!”
                Linda menangis dengan lagi kuat. DIa tidak sanggup melihat pergaduhan antara Adila dengan Hadi.
                “Sial kau! Kau kena bertanggungjawab!” tengking Adila.
                “Aaahhhhhh!” jerit Linda.
                Linda berlari ke arah jalan raya. Tanpa disedari, kereta datang menghampiri.
                “Linda!” jerit Adila.
                Adila segera berlari ke arah Linda. Linda terbaring di atas jalan raya. Darah mengalir di jalan.
                “Linda, bangun Linda,” Adila menangis.
                “Linda!” jeritnya lagi.
                Hadi tidak berkata apa-apa. Dia hanya mampu melihat. Dia tahu, dia banyak buat salah. Dia tidak sepatutnya buat perkara begitu kepada Linda. Linda baru sahaja ingin memulakan kehidupannya. Dia begitu menyesali perbuatannya. Dia rebah. Insaf. Air mata mengalir tanpa disedari.
                “Linda, maafkan Hadi,” ucapnya. Tetapi, tiada makna lagi perkataan maaf tersebut. 

…….

“Adila,”
                Adila tersedar daripada lamunan.
“Mak,”
                “Kenapa ni? Teringatkan Linda ke?”
                “A’ah,”
                “Linda tu anak yang baik. Tetapi disebabkan lelaki yang begitu zalim, sanggup melakukan perkara terkutuk kepada Linda,”
                “Adila hanya mampu berdoa supaya dijauhkan perkara-perkara seperti itu,”
                “Baguslah. Makanlah,”
                Adila terkenangkan kenangannya bersama Linda. Linda, rakannya yang begitu baik dengannya. Tidak boleh dipisahkan. Tidak apalah, yang hidup mesti meneruskan kehidupan. Yang sudah tiada,disedekahkan Al-Fatihah. Semoga Linda tenang di sana bersama Yang Maha Esa.
                Linda, aku akan lakukan apa sahaja untuk membalas dendam kepada Hadi. Hadi, kau bersedialah. Permainan baru bermula!

0 comments: